Kawan-kawan

Carian

Jumaat, 29 Jun 2012

Char Keow Teow Adami 10 & Kechik Jus Buahan. Mergong, Alor Setar.

Kesempatan balik ke Alor Setar, kami pekena Char Keow Teow Adami 10 & Jus Buahan Kechik. Lokasi Char Keow Teow Adami 10 & Kechik Jus Buahan terletak di hadapan TESCO Mergong, Alor Setar, Kedah. Rasa Char Keow Teow di kedai Adami 10 ini pekat kuahnya. Manakala Jus Buahan di kedai Kechik memang best. Di sarankan anda cuba apabila anda berada di Alor Setar atau sekitarnya.


Kechik, Jus Buah-buahan.
Char Keow Teow. Adami 10.
Bagi Char Keow Teow di Adami 10. terdapat Char Keow Teow biasa RM3.50. Char Keow Teow besar RM4.00 dan Char Keow Teow special RM 4.50. Manakala Jus Buahan di kedai Kechik pula ada gelas kecil RM 2.00 dan gelas besar RM 2.50. Seperti gambar di bawah ini ialah Jus Buahan gelas kecil.

Fresh Orange & Fresh Green Apple dari Kedai Kechik.

Char Keow Tiow Special dari Adami 10.
Masa Untuk Makan. Jemput Makan.


Makan sudah, minum pun sudah. Perut dah terisi. Di harap anda dapat mencuba Char Keow Teow dan Jus Buahan di sini. Sekian.Maklumbalas anda dialu-alukan pada ruangan komen.

Rabu, 27 Jun 2012

Pulut Ikan Masin.

Salah satu menu sarapan di waktu pagi khususnya di negeri sebelah utara. Pulut Ikan Masin merupakan menu pilihan terbaik untuk dibawa ke bendang sawah padi sebagai makanan oleh pesawah-pesawah. Menu ini terdiri daripada pulut tanak, kelapa parut dan ikan kering. Ianya cukup lengkap untuk membuka selera.


Pulut Ikan Masin
Maklumbalas anda dialu-alukan pada ruangan komen.

Jumaat, 22 Jun 2012

Laksa Teluk Kechai (Zakaria). Alor Setar.

Laksa oh laksa! Di negara kita ini sebenarnya banyak jenis laksa. Kebiasaannya, ianya mengikut negeri itu sendiri. Bila sebut sahaja laksa, jangan anda impikan apa yang anda bayangkan, sama yang anda akan dapat. Kena sebut Laksa apa? ....Laksa Johor, laksa Kedah, Laksa Sarawak semuanya ada rasa dan identiti sendiri. 

Kali ini nak kongsi tentang laksa di Kedah, khususnya di Teluk Kechai. Alor Setar. Di Teluk kechai ini pun dah lain dari laksa di tempat lain di Negeri kedah. Apa yang lainnya? Anda kena cuba. Baiklah, macam mana nak ke Teluk kechai ini? Senang sahaja. Jalan yang paling mudah, ada kena cari jalan ke Kuala Kedah. Kuala Kedah ini terkenal dengan jeti feri nak pergi dan balik Pulau Langkawi. Kira, Teluk Kechai ni satu haluan ke Kuala Kedah. Lebih kurang 5 KM sebelum anda sampai di Kuala Kedah, anda akan jumpa Teluk Kechai dulu. Kedai Zakaria Laksa ini terletak di tepi jalan menghala ke Alor Setar. Kira anda kena U-turn dulu lah. Kalau tak jumpa atau sesat, jalan paling mudah kena tanya orang di situ. Di sini ada 2 kedai laksa iaitu milik Zakaria dan Din. Ianya bersebelahan. Mengikut sumber, mereka ini adik beradik.

Zakaria Laksa Teluk kechai. Alor Setar.
Kami pun pesan Laksa dan ABC (Air Batu Campur). Pulut Inti pula memang diletakkan di atas setiap meja. kalau nak makan, makan sahaja. jangan lupa bayar pulak. Telur yang belum dikupas kulitnya juga diletakkan di atas meja. jadi, telur dikira harga lain. Laksa di sini bezanya ialah ada disertakan dengan "sambal nyok" kata orang Kedah ( yang warna oren kekuningan tu) atau bahasa biasa sambal kelapa. Laksa diperbuat dari beras dan ianya diproses sendiri. Rasanya lemak-lemak dan bila digaul dengan laksa, kuahnya akan lebih umphh... Harga untuk laksa tanpa telur ini RM 3.00. dan ABC pula RM 2.50. Pulut Sambal  pula rasanya RM 0.50 satu bungkus. Laksa ikut timbang berat pun dijual disini dengan kadar sekilo laksa (beserta kuah & ramuannya) berharga RM 12.00. Bawak balik, makan bersama keluarga, jiran-jiran atau kawan-kawan.



Menu  Utama
ABC
Pulut Sambal
Jadi, ini sahajalah cerita pasal Zakaria Laksa Teluk kechai, Alor Setar. Kalau anda ke sini, boleh cuba nanti. Sekian.Maklumbalas anda dialu-alukan pada ruangan komen.

Rabu, 20 Jun 2012

Fradoo ABC Special, Seksyen 2. Shah Alam. Selangor

Minggu lepas, Khamis (14 Jun 2012) masa perjalanan pulang balik ke Alor Setar, kedah. Ketika itu waktu petang, mata rasa ngantuk sikit masa memandu, jalan di lebuhraya elite pun agak banyak kenderaan. Hmmm... rehat jap lah. nampak exit Batu 3, Shah Alam aku pun keluar dari lebuhraya. Kereta aku pandu ke arah Seksyen 2, Shah Alam. Tujuannya nak cari ABC ( Air Batu Campur) di situ.

Seingat aku, aku cuma dua kali makan ABC di sini. Itu pun kawan-kawan aku yang bawa semasa aku datang ke sini semasa zaman belajar dahulu. Bila orang lain bawa, kita pun tak teringat apa nama tempatnya. Cuma yang ingat hanyalah di Seksyen 2. 

Sampai sahaja di Medan Selera Seksyen 2 ini, aku tengok banyak gerai yang menjual ABC, ...."lupalah yang mana satu kedainya". aku menghubungi rakan aku yang pernah belajar di sini dahulu untuk menanyakan kedai yang mana satu. jawapannya ..."semua kedai sedap dan sama sahaja". Hmm...aku pun mengambil pendekatan  pusing seluruh kawasan medan selera tu untuk membuat pilihan. Dalam banyak-banyak gerai, ada satu gerai ini tak putus-putus orang order (pesan) ABC nya. Rasanya gerai ini kot. Fradoo ABC Special.

Aku pun pesan 2 ABC Special bungkus. Memang tujuan aku nak bungkus sambil makan dalam kereta semasa perjalanan pulang ke Alor Setar. Makan punya makan, memang ABC ini lah yang aku makan waktu ketika dahulu (Sekitar 8 tahun lepas). 

Serba ringkas isi/ramuan ABC special Fradoo yang aku dapat kesan ini ialah untuk ramuannya cincau, barli, longan, dan bebola sagu. Untuk pemanisnya ialah sirap choclate, campuran sirap dan susu cair. dan akhir sekali hiasannya kacang tanah, sebiji anggur dan sebatang biskut coklat roll dan untuk special ada icecream. Rasanya... ada rasa tersendiri. Lain dari rasa ABC Special larkin bomba dan ABC Special Kampung Melayu di Johor Bahru. Di bawah ini adalah gambar ABC Special Fradoo. Shah Alam ini. Lupa pulak. harga memang memuaskan. Untuk ABC Special ini cuma RM 3.00.

FRADO's ABC Special
Dalam perjalanan, kami pun makan sikit-sikit. baru sampai Sungai Buluh, ABC yang dibeli pun habis di makan. sekurang-kurangnya misi mencari ABC Seksyen 2 terlaksana.Sekian...Maklumbalas anda dialu-alukan pada ruangan komen.

Ahad, 10 Jun 2012

Ikan Air Tawar Sangkar Sungai Pahang,Termeloh. Pahang.

Apabila anda ke Negeri Pahang, mesti orang akan berkata.... ' Kau pergi Pahang, try tak Ikan Patin gulai tempoyak?'. Hmm... Ikan Patin dan lain-lain ikan air tawar seperti Ikan Baung dan Ikan Tilapia sememangnya terdapat di Sungai Pahang ini. Namun begitu, sememangnya gelagat manusia ada pelbagai ragam. ada yang nak Ikan liar. Namun begitu, sekiranya anda sanggup membayar, adalah orang yang menjualnya. Sebagai altenatif, Ikan air tawar telah diternak di dalam sangkar dimana lokasi sangkarnya ialah di Sungai Pahang itu sendiri.


Sekiranya anda datang ke Termeloh, Pahang, anda akan mendapati terdapat beberapa gerai yang menjual ikan air tawar sangkar di sepanjang jalan tepi sungai di Termeloh ini. Kebanyakan jenis ikan utama yang mereka jual ialah Ikan Patin, Ikan Tilapia dan Ikan Baung. Ikan-ikan ini dalam keadaan hidup. Di sini, perkhidmatan menyiang ikan disediakan.

Kesempatan kami di sini, kami telah menyinggah gerai milik Arusan Sangkar untuk membeli ikan untuk di bawa balik ke Johor. Kebetulan hari ini hari Sabtu, ramai yang menyinggah. Menurut kata Zul kawan kami, ...walaupun ikan ini ikan sangkar, tetapi rasa isinya tidak sama dengan ikan air tawar di tempat lain'. Antara faktor lain yang dinyatakan oleh abang penjual ikan ini, ...'faktor yang menyebabkan ikan sangkar di Sungai Pahang ini lain ialah faktor arus air sungai laju melalui sangkar ternakan. Ini lain dengan ikan yang diternak di kolam atau kawasan tasik'.

Permandangan Sungai Pahang di Termeloh.
Kedai menjual ikan sangkar.
Pembeli sedang memilih ikan.
Ikan hidup untuk dijual.
Sayur-sayur kampung juga ada dijual.
Harga terkini ikan
Harga ikan di sini memang agak tinggi sedikit dari ikan di tempat lain, tapi berbaloi dengan mutu isinya. Ikan Patin sekilo RM 15.00, Ikan Tilapia sekilo RM 15.00, Ikan Baung sekilo RM 25.00, Ikan Lampam jawa sekilo RM 30.00. dan Ikan Keli sekilo RM 7.00.Untuk pengetahuan anda, Sangkar ikan setiap kedai terletak hanya di belakang kedai. Jadi, kalau anda nak kuantiti lebih pun boleh selagi penjual nak ambil stok ikannya di sangkar. 


Sangkar ikan air tawar 
Sangkar ikan di Sungai Pahang.


Sekian sahaja cerita kami berkenaan Ikan Air Tawar Sangkar Sungai Pahang di Termeloh ini. Sekian, terima kasih. Maklumbalas anda dialu-alukan pada ruangan komen.

Carian

Custom Search

Komen Blogger

Recent Comments Widget